Wednesday, March 21, 2007

Pengalaman Berumrah Dan Mengendalikan Jemaah Haji Dan Umrah.

Assalaamu `alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.

Semoga kita semua sentiasa dibimbing oleh ALLAH dan diberi kesihatan untuk melaksanakan ibadah sebagai tanda kita bersyukur kepada ALLAH.

Alhamdulillah saya amat bersyukur kepada ALLAH kerana memberi kesempatan kepada saya untuk mengerjakan haji sebanyak 6 kali dan `umrah entah, tak tahu berapa banyak. Ini berlaku sewaktu saya dihantar ALLAH melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Madinah.

Pada akhir tahun 1979, sebelum saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Madinah, ramai orang termasuk rakan-rakan yang meminta saya berfikir banyak kali untuk melanjutkan pelajaran ke sana , kerana pada ketika itu kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf sijil dari Universiti Islam Madinah dan universiti- universiti di Arab Saudi. Kata mereka : " Engkau balik nanti nak kerja apa kerana sijil tidak diiktiraf , lebih baik engkau sambung belajar ke Univrsiti al Azhar, Mesir , Universiti Kuwait dan lain- lain yang diiktiraf . " Saya jawab : " Saya ingin menuntut ilmu kerana ALLAH dan tidak ada niat langsung untuk bekerja makan gaji setelah tamat belajar nanti dan saya yakin ALLAH akan memberi rezki kepada saya kerana niat ikhlas didalam menuntut ilmu. Saya ingin berjiran dengan Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam , bersolat di Masjid Nabi dan mengerjakan haji setiap tahun serta dapat mengerjakan `umrah . Bagi saya belajar di Madinah lebih baik dari tempat-tempat lain kerana banyak kelebihannya ".

Dengan kuasa ALLAH, 2 minggu sebelum saya pulang ke Malaysia ( saya pulang pada 15.9.19850 ) , kerajaan Malaysia telah mengiktiraf lulusan Universiti Islam Madinah setaraf dengan Universiti- universiti tempatan. Ini bermakna lulusan Madinah lebih tinggi dari Universiti al Azhar kerana lulusan BA kepujian dari Universiti al Azhar diiktiraf setaraf dengan BA tanpa kepujian ( ijazah am ) dari Universiti-universi ti tempatan. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini barulah ijazah Universiti al Azhar diiktiraf setaraf dengan Univversiti- universiti tempatan.. Inilah kuasa ALLAH .saya amat bersyukur kepada ALLAH diatas nikmat-NYA. Sekembali saya ke Malaysia, saya dapat kerja di salah sebuah IPT.

Selama lebih kurang 6 tahun belajar di Madinah dari akhir tahun 1979 hingga 1985 , amat banyak pengalaman yang dapat saya timba termasuk mengendalikan kebajikan jemaah haji , mencari jemaah haji yang sesat , cara nak berkomunikasi dengan tok `Arab yang kasar dan lain-lain lagi yang tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit. Diantara pengalaman yang tak dapat dilupakan ialah mencari jemaah yang hilang. Ada diantara jemaah yang hilang tak dapat dikesan oleh pihak tabung haji tetapi saya ada cara yang tersendiri untuk mengesanya sehingga saya dapat menemui mereka yang sesat ini.

Manakala pengalaman yang berkaitan dengan haji dan `umrah pula ialah membimbing jemaah haji dan `umrah melaksanakan dengan betul. Biasanya 2 atau 3 bulan sebelum jemaah haji sampai kami akan membuka kitab-kitab berkaitan dengan haji dan `umrah dan mempelajari nya secara mendalam kerana memang kami sentiasa menjadi rujukan jemaah. Oleh itu sehingga sekarang saya masih lagi tidak lupa hal-hal yang berkaitan dengan haji dan `umrah, insha` ALLAH.

Saya juga pernah terlibat secara langung dengan urusan haji dan `umrah . Saya pernah diambil oleh Tabung Haji dan ditempatkan di zon atau maktab ( pejabat ) , saya juga pernah berkhidmat dibahagian hospital . Setiap hari saya akan berulang alik dari pejabat tabung haji dan hospital- hospital di Madinah meninjau jemaah haji Malaysia sekali gus menjadi perantara diantara pejabat tabung haji dengan hospital-hospital diMadinah. Saya juga pernah menjadi Tour Guide dengan berbagai-bagai syarikat di Malaysia termasuk syarikat MAS sewaktu musim `umrah.

Sewaktu kami masih lagi menuntut di Universiti Islam Madinah,Arab Saudi ( tahun 1979-1985 ), kami golongan pelajar dapati ramai jema`ah melakukan kesilapan sewaktu mengerjakan haji dan `umrah. Oleh itu kami telah sedaya upaya menerangkan dan memberi tunjuk ajar kepada mereka agar tidak menjadi pak turut kepada orang-orang jahil sewaktu mengerjakan `ibadah yang suci ini. Kemudian, setelah saya pulang ke tanah air tahun 1985 , saya tidak lagi berkesempatan mengerjakan haji atau umrah kecuali pada tahun 1989 dalam perjalanan ke sebuah negara arab untuk menyambungkan pelajaran peringkat sarjana dan pulang ke Malaysia pada tahun 1991.

Kemudian pada tahun 1994 saya mula membawa jemaah. Ketika itu saudara-mara dan sahabat berhasrat nak mengerjakan `umrah. Apabila mereka beritahu saya, terlintas untuk menolong mereka kerana dari pengalaman saya, setahu saya semenjak saya masih belajar disana, pihak pengendali atau penganjur umrah atau syarikat travel agensi di Malaysia akan menyerahkan urusan umrah kepada wakil mereka di sana, iaitu orang melayu Malaysia, Indonesia atau Patani yang tinggal disana. Sewaktu ziarah pula wakil ini akan cari seorang tour guide untuk memberi penerangan kepada jemaah . Saya juga pernah menjadi tour guide semasa belajar disana dahulu. Yang jadi masalahnya, selalu juga pelajar sibuk , jadi wakil disana akan cari siapa sahaja yang boleh jadi tour guide ( bidan terjun ) . Olih itu mungkin penerangan yang disampaikan itu salah. Kita tak tahu samada mereka mempunyai pengetahuan tentang amalan haji atau `umrah. Ada yang tinggal disana kerana bekerja sendiri tetapi mengaku belajar. WALLAHU `AA`LAM.

Seperti yang telah saya jelaskan bahawa mulai tahun 1994 Alhamdulillah saya diberikan kesempatan oleh ALLAH untuk mengerjakan `umrah tiap-tiap tahun atau 2 tahun sekali. Pada mulanya saya menyangka jemaah dari Malaysia tidak lagi melakukan kesalahan yang ketara ketika mengerjakan haji dan `umrah kerana ramai penganjur dan travel agensi yang menguruskan urusan haji dan `umrah , tetapi sangkaan saya meleset. Ramai orang , khususnya dari Malaysia masih melakukan kesilapan ketika mengerjakan `umrah . Saya kasihan melihat mereka ini . Namun demikian sebenarnya mereka tidak boleh dipersalahkan dan insha` ALAAH `umrah mereka diterima ALLAH . Yang patut dipersalahkan ialah pembimbing yang membawa mereka dari Malaysia . Biasanya pembimbing ini dipanggil ustaz walau pun mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang mendalam ( mereka bukan ustaz atau ustazah ) . Ada yang beberapa kali mengerjakan haji atau `umrah , sudah menjadi pembimbing dan membawa jemaah. Apabila jemaah menanyakan masalah-masalah berkaitan `umrah mereka cuba menjawab, kalau tak jawab terasa malu pula kerana orang panggil ustaz atau ustazah . Ada juga diantara pembimbing atau syarikat travel agensi menyerahkan urusan berkaitan haji dan `umrah kepada wakil di Makkah dan Madinah. Wakil mereka pula bukan semuanya mahir dalam `ibadah haji dan `umrah, mereka pun mungkin juga ikut orang ramai buat ( Pak Turut ). Dengan ini ramai jemaah yang buat kesilapan kerana mengikut pembimbing ( pembimbing juga pak turut ) atau Mutawwif.

Oleh itu berdasarkan pengalaman yang telah saya jelaskan maka disini saya ingin mengajak anda mengerjakan umrah bersama saya. Mulai tahun 1994 hingga tahun lepas saya lebih suka mengerjakan umrah sambil melawat negara arab untuk melihat kesan peninggalan ummah ( generasi ) silam yang telah dihancurkan ALLAH. Firman ALLAH : " Apakah mereka tidak mengembara diatas muka bumi ini , melihat azab yang telah menimpa umat yang telah mendustakan ayat-ayat ( kekuasaan ) ALLAH " .

Sebenarnya tidak ramai orang yang ikut saya. Dibawah ini saya senaraikan jumlah jemaah, harga pakej dan negara yang kami telah lawati dalam perjalanan mengerjakan umrah.

Alhamdulillah, setiap tahun saya mengerjakan `umrah sambil mengembara ketempat lain.

- Tahun 1994 `Umrah /Jordan.( Cuti sekolah – Peak Season , 15 hari – 2 malam di Amman, Jordan ) . Jumlah jemaah 15 orang dan kami membelanjakan 3200 RM.

- Tahun 1995 `Umrah /Jordan/Baitul Maqdis ( 18 Hari - 1 malam di Amman, Jordan, 2 mlm Baitul Maqdis ) . Jumlah jemaah 14 orang dan kami membelanjakan 3800RM .

- Tahun 1996 `Umrah /Jordan/Baitul Maqdis 15 hari ( tak puas pergi sekali ke Baitul Maqdis lebih-lebih lagi ianya tempat suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah ) . Jumlah jemaah 11 orang dan kami membelanjakan 3500 RM

- Tahun 1997 `Umrah / Beirut,Lubnan ( 14 hari ). Jumlah jemaah 6 orang dan kami membelanjakan 3300 RM ( Sekarang kapal terbang Lubnan tidak lagi beroperasi diKuala Lumpur ).
- Tahun 1998 `Umrah /Istanbul . Jumlah jemaah 9 orang dan kami membelanjakan 3600 RM.
- Tahun 1999 tak dapat pergi kerana tak ada rezki. Semuanya ALLAH yang tentukan.
- Tahun 2000 `Umrah / Istanbul/ Mesir. ( 18 hari – 2 hari Istanbul dan 4 hari di Kaherah). Tak puas melawat Istanbul pada kali yang pertama. Jumlah jemaah 8 orang, kami membelanjakan 4000 RM.

- Tahun 2001 tak pergi kerana tiada rezki.
- Tahun 2002 `Umrah / Dubai ( cuti sekolah 14 hari –Peak Season ) Jumlah jemaah 11 orang dan kami membelanjakan 3300 RM.

- Tahun 2003 `Umrah/Dubai ( 15 hari ). Jumlah jemaah 7 orang dan kami membelanjakan 3500 RM .
- Bulan March 2004 , saya pergi ke Beijing, China selama 9 hari.
- Bulan Jun 2004 `Umrah/ Bahrain ( cuti sekolah 14 hari – Peak Season ). Jumlah jemaah 10 orang dan kami membelanjakan 3500 RM.
Pada awal Ramadhan tahun 2004 pula `Umrah dengan pesawat MAS selama 15 hari. Oleh kerana naik MAS maka kami hanya ke Makkah dan Madinah sahaja. Jumlah jemaah 7 orang dan kami membelanjakan 4000 RM ( peak season ).

- Bulan Jun 2005 `Umrah / Berunai ( 15 hari ). Jumlah jemaah 23 orang dan kami membelanjakan 3600RM.
- Tahun 2006 `Umrah /Abu Dhabi ( 15 hari ) . Jumlah jemaah 25 orang dan kami membelanjakan 4100 RM, dan cuti sekolah Jun 2006 ( 14 hari ) . Jumlah jemaah 9 orang dan kami membelanjakan 4300 RM ( Peak season ).

Walau pun jemaah yang ikut saya sedikit tetapi sekiranya nak pergi saya tak kisah samada jemaah ramai atau sedikit dan kalau tiada jemaah langsung pun saya akan pergi seorang diri. Saya tak fikirkan sangat soal keuntungan. Selalunya saya tak dapat percuma ( saya pun kena keluar duit juga ) kerana jemaah tak ramai.

Sebelum ini saya hanya pergi setahun sekali sahaja kecuali dalam tahun 2004 saya dapat pergi 2 kali iaitu bulan Jun dan bulan puasa. Kali pertama saya pergi tahun 2004 ketika itu cuti semester pertama di universiti tempat saya bekerja. Kami disini tidak tahu cuti yang berikutnya ( semester kedua ) kerana cuti semester berikutnya hanya di edarkan pada awal semester itu. Oleh itu selepas saya pulang `umrah barulah taqwim ( kalendar ) semster dua di edarkan dan apabila saya dapati cuti berada dalam bulan puasa hasrat nak pergi sekali lagi begitu kuat sekali kerana dalam hayat saya , hanya 2 kali sahaja saya berpuasa di Makkah dan Madinah. Walau pun saya pernah belajar di Madinah dahulu tetapi pada ketika itu ( tahun 80-an ) Ramadhan dalam musim panas dan kami diberikan cuti selama 4 bulan serta diberikan tiket untuk pulang ke tanah air. Oleh itu setiap tahun saya berpuasa di tanah air dan datang balik ke madinah sebelum bulan Dzulhijjah kerana nak mengerjakan haji. Hanya tahun 1985 apabila saya tamat belajar, barulah saya dapat berpuasa di sana dan saya pulang pada 15.9.1985, selepas selesai mengerjakan haji. Berdasarkan sebab-sebab yang telah saya terangkan maka saya pun pergi sekali lagi ke Makkah pada tahun 2004 itu kerana nak rebut pahala besar dalam bulan puasa walau pun terpaksa berhutang dengan ayah saya .

Kali ini saya pun kena bayar penuh , sama dengan jemaah bayar pada saya walau pun saya sendiri yang mengendalikan semua urusan sejak dari Malaysia lagi hingga ke sana . Saya ambil ambil dari jemaah 4000RM . Pada ketika itu yang ikut saya hanya kawan- kawan yang jumlahnya 7 orang sahaja dan jemaah travel ejen seramai 4 orang tetapi travel ini tidak beri apa-apa kepada saya . Travel ini hanya beri kepada saya wang penginapan dan makan untuk jemaahnya yang seramai 4 orang itu sahaja. Walau pun travel itu tidak memberi saya walau pun satu sen tetapi saya tak kisah kerana matlamat saya nak beribadah dan membimbing jemaah melakukan cara `umrah mengikut sunnah Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam, bukan nak kaut keuntungan. Kalau jemaah ramai mungkin dapat cover tetapi oleh kerana jemaah saya sedikit dan saya ambil murah pula , ini menyebabkan saya tak dapat nak cover, lebeh-lebeh lagi harga hotel melambung tinggi dalam bulan puasa.

Jemaah tahu yang saya pun kena bayar macam mereka kerana mereka tanya harga pakej jemaah lain yang tinggal satu hotel dan naik pesawat yang sama ( naik MAS ). Jemaah saya terkejut kerana harga pakej umrah yang dibayar oleh jemaah lain jauh lebeh mahal dari saya sedangkan jumlah mereka lebeh 40 orang. Oleh itu mereka nak beri wang lagi kepada saya kerana kasihan melihat saya letih mengurus sedangkan saya tak ada untung langsung, tetapi saya tak mahu terima kerana saya bersyukur kepada ALLAH dapat mengerjakan `umrah dalam bulan puasa. Saya terpaksa berhutang dengan ayah saya 3000RM untuk pergi umrah pada bulan Ramadhan itu kerana pada pandangan saya bukan senang nak pergi bulan Ramadhan kerana kami selalu ada kelas ( tiada cuti ) dalam bulan Ramadahan.

Di Makkah, jemaah saya yang seramai 12 orang ( termasuk saya dan 4 orang yang travel agensi tumpangkan ) menaiki bas yang sama dengan rombongan 35 orang dari sebuah agency di Johor untuk melawat persekitaran Makkah. Bas penuh sesak ketika itu. Sepatutnya saya menaiki bas yang saya sewa sendiri tanpa bercampur dengan orang lain tetapi oleh kerana consortium ( muassasah ) di sana nak untung maka dicampurkanlah kami dengan rombongan lain. Saya boleh berkeras tetapi tak mahu melakukan demikian kerana memandangkan bulan puasa yang mulia. Tahun 2003 dulu saya pernah gertak ( acah saja ) nak laporkan kepada kementerian Haji Arab Saudi , apa lagi wakil konsortium merayu-rayu saya dan diberinya bas yang besar kepada rombongan saya yang hanya berjumlah 11 orang sahaja.

Berbalik kepada cerita tadi ketika bas nak bertolak saya hanya berdiam diri tak mahu tampil ke depan kerana maklumlah saya sedar rombongan saya hanya 12 orang sedangkan mereka 35 orang, sudah tentu mereka ada tour guide sendiri , tetapi apabila saya tak nampak seorang pun yang maju kedepan lantas saya pun mengambil mikrofon dan bertanya siapakah ketua rombongan dari Johor tadi, kemudian tampil seorang haji ( rombongannya panggil dia ustaz dan memang orang panggil ketua rombongan `umrah sebagai ustaz walau pun dia bukan ustaz - senang dapat title ustaz ya, bawa rombongan `umrah, orang akan panggil ustaz atau ustazah!! ). Saya hulurkan microphone kepadanya minta dia jadi tour guide tetapi dia jawab tak tahu nak cakap apa. Katanya tour guide rombongannya ( orang yang tinggal di Makkah ) ada hal dan tak dapat datang. Saya rasa kasihan kepada jemaah itu lalu saya bertindak menjadi tour guide. 7 orang jemaah saya semuanya ustaz lulusan Madinah dan Kuwait. Kalau saya nak terangkan kepada mereka pun cukuplah secara ringkas sahaja tetapi kerana kasihankan jemaah yang ramai itu saya terpaksa berikan penerangan dengan panjang lebar.

Sebagaimana yang telah saya jelaskan sebelum ini bahawa ramai orang yang membawa jemaah berumrah dan kebanyakannya hanya mengharapkan wakil di Makkah dan Madinah untuk menguruskan jemaah. Sekiranya tidak berlaku kes seperti diatas tak lah jadi masalah tetapi kalau berlaku memang jadi masalah besar.

Selain daripada kes diatas, saya bawa 2 kes lagi yang berlaku dihadapan mata saya sendiri, iaitu berkaitan dengan seorang ustaz yang terkenal juga. Beliau membawa jemaah yang ramai setiap kali mengerjakan umrah dan dalam setahun dia pergi beberapa kali dengan jemaah yang ramai pula. Maklumlah seorang yang terkenal . Dia dan jemaahnya naik satu kapalterbang dengan saya . Jemaahnya 100 orang lebeh, hampir separuh kapalterbang. Di Makkah mereka tinggal berhampiran dengan saya. Sewaktu mengerjakan `umrah saya terkejut bila melihat cara ustaz ini mengerjakan umrah kerana beliau telah melakukan kesalahan dan diikuti oleh jemaahnya pula. Sepatutnya ustaz ini tak bolehlah sama seperti orang lain yang jadi pak turut orang-orang yang jahil. Kenapakah sebelum mengerjakan umrah dia tidak merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar. Seseorang yang menjadi ikutan orang ramai wajib membaca kitab-kitab yang muktabar yang dikarang oleh ulama besar zaman silam dan tidaklah memadai dengan hanya membaca buku-buku berkaitan haji dan `umrah yang banyak dijual dikedai-kedai buku yang melambak dipasaran, kerana seseorang ustaz mestilah boleh mengemukakan dalil-dalil yang meyakinkan. Ada pun buku-buku yang banyak dijual dikedai berkaitan haji dan umrah tidak banyak mengemukakan dalil-dalil sehingga kadang- kadang kita tak tahu dari mana pengarangnya mengambil rujukan. Pada pandangan saya sekiranya ustaz ini membaca kitab-kitab yang muktabar sudah tentu dia tidak melakukan kesalahan sewaktu mengerjakan umrah tetapi mungkin dia tak ada masa kerana sibuk dengan program ceramah .

Satu kes lagi berlaku pada tahun 2004 ( cuti sekolah ) . Kawan isteri saya nak mengerjakan `umrah dan isteri saya mengajaknya pergi bersama., puas dia pujuk suaminya pergi dengan saya dan saya juga menyatakan kepada suaminya tentang pengalaman saya, namun begitu suaminya nak pergi dengan wakil travel agensi yang mem promote kan umrah di tempat kerjanya. Jemaahnya lebih 50 orang. Saya katakan kepadanya bahawa mengikut pengalaman saya yang dah banyak kali pergi ke Makkah pada waktu cuti sekolah, amat sukar nak dapat seat kapal terbang lebih-lebih lagi jemaah yang ramai ( Alhamdulillah jemaah saya setakat ini tidak pernah terkandas ) . Dia berkeras menyatakan bahawa wakil travel itu kata ada seat. Saya kata bahawa dia kata begitu kerana takut kita lari ke travel agensi yang lain dan inilah yang selalu berlaku. Oleh kerana dia terlampau percaya kepada orang itu saya tak dapat nak berbuat apa-apa. Mengikut jadualnya dia bertolak dahulu daripada saya tetapi akhirnya saya dan jemaah saya seramai 10 orang ( termasuk saya ) bertolak ke Makkah sedangkan dia belum bertolak lagi kerana ditunda keberangkatan beberapa kali. Dia lewat 3 hari dari saya.

Di Makkah kami bertemu dengannya dan dia menceritakan kesukarannya kerana banyak kali transit, ada diantara jemaah itu terkandas di Yaman kerana tiket tak confirm . Dia terkejut melihat penginapan saya di Hira` Palace kerana katanya dia tinggal di tempat yang tidak selesa sedangkan bayaran pakejnya 300 RM mahal dari saya . Dia tanya samada saya dapat untung atau tidak kerana jemaah saya hanya 10 orang sahaja ,termasuk saya dan isteri. Saya katakan bahawa saya lebih utamakan `ibadah dan mengajar cara yang betul mengerjakan `umrah. Kemudian dia berangkat ke Jedah 2 hari sebelum saya . Ini bermakna pakej dia hanya 10 hari sedangkan janjinya 2 minggu. Tiba-tiba pada malamnya dia datang ke tempat saya , mengatakan mereka balik semula ke Makkah kerana tiket tak dapat confirm. Dia kata ustaz dan ustazah yang membimbing mereka menyuruh membayar dam seekor kambing kerana mereka sudah pun mengerjakan tawaf wada` ( yang benar sebutannya ialah wada` , bukan wida` ) . Saya suruh dia beritahu jemaahnya supaya jangan menbayar dam , apabila keluar dari Makkah nanti hendaklah sekali lagi mengerjakan tawaf wada`.

Ini hanyalah 3 contoh sahaja yang saya sebutkan, tidak termasuk kes-kes yang berlaku kepada jemaah lain yang banyak saya tolong selesaikan. Tak payahlah saya tuliskan semuanya disini, nanti letih pula anda membacanya tetapi kalau nak tahu juga saya boleh ceritakan nanti.

Oleh itu, berdasarkan kepada apa yang saya kemukakan tadi , wajiblah penganjur-penganjur dan syarikat-syarikat travel agensi yang menguruskan jema`ah haji dan `umrah supaya benar-benar mempelajari hal-hal yang berkaitan dengannya secara mendalam dan janganlah hanya mementingkan komersial sahaja. Pembimbing dan penganjur akan disoal ALLAH di hari Akhirat nanti.

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini , sepanjang mengerjakan `umrah , saya dapati penganjur `umrah lebih suka menyerahkan urusan `umrah kepada wakil-wakil mereka di Makkah dan Madinah. Mungkin mereka sangka wakil-wakil ini mahir dalam urusan haji dan `umrah kerana sudah lama bermastautin di Makkah. Ini adalah kesilapan yang besar kerana bukan semua yang bermastautin di Makkah memahami betul-betul masalah ini. Ada diantara mereka yang hanya menjadi " Pak Turut " orang-orang Arab sahaja dan ada juga diantara mereka yang mengaku menuntut di tanah suci Makkah atau Madinah, sedangkan mereka tidak belajar semasa di sana. Penulis menerangkan ini semua berdasarkan pengalaman semasa menuntut di Tanah Suci dahulu. Oleh itu diharap penganjur `umrah benar-benar teliti dan mengambil tahu latar belakang Mutawwif ( Pembimbing ) ketika di Tanah Suci agar jema`ah mereka dapat mengerjakan `umrah dengan sempurna dan seterusnya mendapat `umrah yang diterima ALLAH.

Kasihan jemaah ya ! Tujuan saya bawa cerita ini ialah untuk mengingatkan kepada semua kalau kita nak pergi `umrah seboleh- bolehnya pergilah dengan orang yang pernah belajar disana atau yang tahu selok belok disana lebeh-lebeh lagi ramai ketua rombongan ( termasuk ustaz-ustaz dan ada yang hafiz ) yang memimpin jemaah `umrah melakukan perkara yang salah semasa mengerjakan `umrah. Kita dah habiskan wang yang banyak untuk `umrah , maka sudah tentu kita inginkan ibadah yang sempurna.

Pada tahun lepas , Alhamdulillah saya dapat mengerjakan `umrah dua kali juga , kali pertama dari 5.5.2006 hingga 18.5.2006 seramai 23 orang jemaah dan kami membelanjakan 4100RM. Oleh kerana ada lagi orang nak pergi tapi tak sempat kerana mereka beritahu saya lambat, maka saya suruh mereka tunggu saya pulang untuk mengendalikan urusan . Setelah saya siap buat urusan, Alhamdulillah saya berangkat untuk kali kedua dari 13.6.2006 hingga 27.6.2006 ( Cuti sekolah 14 Hari –Peak season ) seramai 9 orang sahaja tetapi sebuah travel agensi pass kan jemaah seramai 7 orang . Jadi jumlahnya 16 orang .

Untuk maklumat anda kenapa saya beria-ria sangat mengajak pergi `umrah dengan saya . Selain dari tujuan untuk berdakwah dan membimbing jemaah supaya melakukan umrah dengan cara yang betul mengikut cara yang dilakukan Nabi sallallahu `alaihi wasallam ada satu lagi sebab, iaitu berkaitan dengan travel agensi. Sejak saya mula membawa jemaah ber`umrah, dah 10 kali saya bertukar travel agensi untuk membeli tiket. Saya ada senarai travel agensi yang di black list oleh caterer di Makkah dan Madinah . Kebanyakan caterer di Makkah dan Madinah itu kawan-kawan saya . Mengapa sebahagian agensi-agensi ini di black list ? Sebab tak bayar wang makan. Ada agensi yang tak bayar 100000 Saudi Rial.Tahun lepas, salah seorang kawan saya ( caterer ) pulang ke Malaysia dari Makkah menjejaki travel agensi yang berhutang dengannya sebanyak 30000 rial.

Dalam hal ini jemaah tidak salah kerana di Malaysia lagi mereka telah membayar harga pakej penuh kepada travel agensi dan ini termasuk wang makan serta hotel tetapi banyak agensi tak membayar wang makan kepada caterer di Makkah dan Madinah. Dalam erti kata lain anda bayar harga pakej penuh kepada agensi untuk ber`umrah tetap agensi inilah yang tak bayar kepada Caterer di Makkah dan Madinah. Mungkin pada mulanya agensi ini berhutang kerana nak pusing duit atau modal tetapi lama kelamaan hutang yang tertunggak menjadi banyak dan agak berat nak membayarnya. Caterer2 ini pula tak sampai hati tak beri makan kepada jemaah `umrah kerana mereka tahu jemaah dah bayar kepada agensi. Inilah yang berlaku tetapi jemaah tidak tahu hal ini. Bukan semua travel agensi bersikap begitu, hanya segelintir sahaja , cuma saya takut anda berurusan dengan travel agensi yang termasuk dalam jumlah segelintir itu.

Pada 19.4.2007 ini, insha` ALLAH saya bercadang untuk mengerjakan `umrah dan seterusnya lawatan ke Jordan atau Syria atau ke negara `Arab yang lain selama 2 minggu. Manakala dalam bulan Mei pula tak tahu lagi nak umrah sahaja atau nak umrah sambil melawat negara lain. Perkara ini mesti dibincang dengan jemaah dahulu.

Sekiranya nak umrah sambil melawat ada beberapa tempat yang dicadangkan seperti Kaherah, Istanbul, Jordan, Syria atau ke tempat yang lain. Sekiranya ke Jordan , kalau ada rezki boleh menziarahi Al Masjidil Aqsa, iaitu tanah suci Islam yang ketiga selepas Makkah dan Mdinah. Jangan bimbang ! Insha` ALLAH pergi ke Baitul Maqdis ini selamat kerana Baitul Maqdis adalah sebuah daerah dan AL Msjidil Aqsa termasuk dalam daerah Baitul Maqdis. Ada pun tempat berlakunya konflik ianya jauh dari Al Masjidil Aqsa . Lawatan ke Baitul Maqdis juga tertakluk kepada kelulusan, sekiranya keadaan tidak aman kerajaan Jordan tidak benarkan kita memasukinya awal-awal lagi . Sebab itulah saya katakan kalau ada rezki kerana bukan semua orang yang masuk Jordan boleh melawat Baitul Maqdis, ianya tertakluk kepada kelulusan kerajaan Jordan.

Kalau tak dapat melawat Baitul Maqdis kita melawat sekitar `Amman , Jordan seperti laut mati, Gua Ashaabul kahfi, maqam Nabi Shu`ib ( Wallaahu `aa`lam ) , Roman Amphiteater dan lain-lain tempat lagi. Sekiranya ada cadangan nak melawat Dimasq ( Damshiq ), Syria bagus juga kerana Damshiq merupakan satu destinasi yang penting , ianya pernah menjadi pusat pemerintahan Bani Umayyah selepas pemerintahan Al Khulafa` Ar Raashidin . Banyak kesan peninggalan zaman silam dan kesan Bani Umayyah yang terdapat diDamshik. Dari Amman, Jordan ke Damshiq hanya 2 jam perjalanan dengan bas dan rakyat Malaysia tidak perlu mohon visa memasuki Jordan dan Syria.

Walau bagaimana pun lawatan ke Baitul Maqdis atau Damshik, Syria ini diatas perbelanjaan sendiri. Saya tak tahu lagi berapa bayarannya kerana urusan ke Baitul Maqdis dibuat setelah kita sampai di Jordan . Begitu juga lawatan ke Syria, tetapi saya anggarkan dalam 500 RM.

Jangan bimbang ya ! Saya tinggal 6 tahun disana semasa belajar dahulu. Saya hanya dapat pergi ke Makkah sewaktu cuti semester sahaja kerana saya bekerja sebagai seorang pensyarah disalah sebuah IPT.

Sekiranya anda tidak berhajat nak pergi bolehlah tanya teman-teman atau saudara mara yang nak pergi. Kemudian contact saya melalui e mail dibawah .

Kita wajib sentiasa bersyukur kepada ALLAH yang telah memberikan taufiq dan hidayah kepada kita sehingga dengan berbekalkan iman yang teguh kita telah dapat mencari penentuan hidup yang diredhai ALLAH. Kita wajib bersyukur sekiranya dipilih ALLAH menjadi tetamu-NYA , dengan mengunjungi Baitullah untuk mengerjakan haji dan `umrah. Mudah-mudahan `ibadah haji dan `umrah yang akan dikerjakan menjadi satu `ibadah yang boleh memberikan pengajaran dan pedoman untuk meningkatkan iman dan amal kita , seterusnya menuju jalan yang diredhai ALLAH untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.

`Ibadah haji dan `umrah selain daripada berfungsi menyucikan dosa , ianya juga merupakan bekalan menuju akhirat setelah sekian lama kita hidup di dunia yang fana` ini. Sesungguhnya mereka yang sanggup berkorban harta benda, wang dan jiwa untuk memperhambakan diri kepada ALLAH adalah termasuk ke dalam golongan yang mendapat petunjuk dan hidayah serta ketinggian martabat iman di sisi ALLAH , insya` ALLAH .

Berbahagialah mereka yang dapat mencapai dan memahami hakikat `ibadah haji dan `umrah , iaitu melaksana dan menghayati hikmah- hikmahnya dengan keimanan, kesabaran dan mengharapkan rahmat ALLAH , rela menerima ketentuan qadha` dan qadar yang sudah pasti ditetapkan oleh ALLAH yang Maha Berkuasa dan membuang perasaan tidak puas hati. Perasaan marah terhadap kesusahan yang kita tempuhi boleh diertikan sebagai tidak berpuashati dengan qadha` dan qadar serta mencabar kuasa ALLAH .

Semua amal `ibadah dalam Islam, termasuk haji dan `umrah, yang terbaik adalah yang terkumpul di dalamnya dua perkara :

a. Dikerjakan semata-mata kerana ALLAH . Ertinya yang menjadi satu-satunya pendorong mengerjakan `ibadah adalah mengharapkan keridhaan ALLAH, bukan untuk mendapat pujian orang dan sebagainya.
b. Dilakukan sesuai dengan sunnah Nabi Sallallaah `alaihi wasallam kerana tidak seorang pun yang mengetahui cara ber`ibadah yang diridhai ALLAH selain Nabi Sallallaah `alaihi wasallam.

Mengerjakan `ibadah dengan ikhlas adalah sangat sulit seperti yang diisyaratkan oleh Rasulullah Sallallaah `alaihi wasallam : " Mahukah kamu aku beritahu sesuatu yang menurut aku lebih merbahaya keatasmu daripada Dajjal Al-Masih ? Para sahabat menjawab : " Ya ." Rasulullah Sallallaah `alaihi wasallam bersabda : " Syirik yang tersembunyi. " Seorang lelaki bersolat, lalu dielokkan solatnya kerana dia melihat orang memandangnya ." ( H.R Ahmad dari Abu Sa'id ).

Oleh itu dalam haji dan `umrah, oleh kerana ianya berkaitan dengan kemampuan harta, ikhlas itu lebih sulit lagi, sehingga ALLAH memberi peringatan tentang keikhlasan dalam mengerjakan haji dan `umrah dengan firman-NYA :"Dan sempurnakanlah haji dan `umrah kerana ALLAH ." (Al Baqarah 196).

Dalam masalah solat, Rasulullah Sallallaah `alaihi wasallam memberi perintah : " Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat . " ( H.R Ahmad dan Muslim ).

Begitu juga dalam hal Haji dan `umrah , baginda Sallallaah `alaihi wasallam memberi perintah : " Ambillah cara mengerjakan haji dan `umrahmu dari aku. " ( H.R Muslim dari Jabir ).

Rasulullah Sallallaah `alaihi wasallam mengerjakan haji pada tahun ke 10 Hijriyah yang dikenali dengan " Haji Wada' " itu , dengan saksama an diikuti serta disaksikan oleh para sahabat Radhiallaahu `anhum . Kemudian pada hari Nahar ( hariraya haji ), Nabi Sallallaah `alaihi wasallam mengingatkan umatnya agar mencontohinya mengerjakan haji dan `umrah.

Nabi Sallallaah `alaihi wasallam sendiri tidak memberikan kriteria terhadap satu-satu amalan yang berkaitan dengan haji dan `umrah. Nabi tidak mengatakan : " Yang ini fardhu, wajib , sunat dan makruh " , tetapi Nabi mengerjakan semuanya lalu memerintahkan orang ramai mencontohi cara yang dilakukannya serta turut memberikan rukhsoh ( keringanan ) dalam hal-hal tertentu untuk orang-orang tertentu pula.

Contohnya Nabi Sallallaah `alaihi wasallam mengizinkan golongan yang lemah berangkat meninggalkan Muzdalifah pada malam hari Nahar ( malam hariraya ) di waktu malam sebelum fajar, membiarkan orang mengerjakan amalan- amalan dihari Nahar secara tidak berurutan , mengizinkan `Abbas radhiallaahu `anhuma dan pengembala-pengemba la unta untuk tidak bermalam yang kemudiannya mengklasifikasikannya kedalam kategori : Fardhu, Wajib, sunat dan makruh.

Berdasarkan pendapat `ulama, maka lahirlah cara mengerjakan haji dan `umrah dengan kecenderungan masing-masing. Diantaranya ada yang mencari cara yang paling mudah dan selesa. Inilah yang kita lihat sekarang dan yang lebih membimbangkan lagi mungkin dimasa akan datang diketemukan cara yang amat mudah dengan menggabungkan semua yang ringan dari pendapat berbagai `ulama. Bagi orang yang ingin mengerjakan haji dan `umrah dengan cara yang paling diredhai ALLAH , tentunya selain menjaga agar niatnya benar-benar ikhlas kerana ALLAH , tidak bercampur riyaa`, 'ujub, sum'ah dan takabbur , mestilah mengerjakan nya sesuai dengan tuntunan RasululIah Sallallaah `alaihi wasallam dan sekiranya keadaan memerlukan bolehlah menerima rukhsoh ( keringanan ) yang diberikan oleh Baginda Sallallaah `alaihi wasallam tanpa memandang kecil erti amalan-amalan itu serta memohon ampun diatas semua kekurangan yang berpunca dari kelemahan manusia .

Untuk pengetahuan semua, mengerjakan haji dan `umrah ini amat mudah sekali. Kita hanya perlu kerjakan rukun-rukun dan wajib-wajib haji sahaja. Tiada bacaan yang khusus, terpulanglah nak baca apa sahaja. Ada pun buku-buku haji dan `umrah yang banyak berada dipasaran yang memuatkan berbagai-bagai bacaan hanyalah dikarang oleh `ulama sahaja sedangkan Nabi sallallaahu` alaihi wasallam sendiri tidak mengkhususkan bacaan. Jadi jangan keliru ya kerana saya banyak bertanya orang kenapa tak pergi haji atau umrah? Mereka jawab susah nak melancar bacaan ( doa` ). Ini sudah salah kerana tiada bacaan yang khusus untuk melaksanakannya. Menyedari kesilapan ini, Alhamdulillah saya telah pun mengarang sebuah buku tentang haji dan `umrah. Buku ini belum diterbitkan lagi kerana saya tiada modal. Saya hanya berikan buku ini kepada jemaah yang ikut saya mengerjakan `umrah. Kalau anda mahukan buku ini saya boleh lampirkan dalam e mail.

Firman ALLAH : " Dan sempurnakanlah `ibadah haji dan `umrah kerana ALLAH " ( Aali `Imran :196 ).

Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam bersabda : " Iringilah ( susulilah ) antara haji dan `umrah kerana keduanya dapat menghilangkan kemiskinan dan dosa sebagaimana ahli logam membuang karat dari besi, perak, dan emas. Tiada lain pahala yang diterima haji yang mabrur kecuali syurga ( H.R At Turmudzi,Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah Rahimahumullah ). Hadith ini darjatnya Hasan Sahih.

Diriwayatkan dengan isnad yang hasan ( baik ) oleh Ibnu Juraij Rahimahullah dari Jabir Radhiallaahu` anhu bahawa Rasulullah Sallallaahu` alaihi wasallam bersabda :" Rumah (Kaa`bah) ini adalah tiang Islam ,maka sesiapa yang berangkat menuju ke rumah ini dia di jamin oleh ALLAH , sekiranya dia mati ALLAH akan masukkannya ke dalam syurga dan jika dia kembali ke tanah airnya ALLAH akan menberkatinya dengan memberinya pahala " .

Dalam hadith yang pertama, ALLAH telah beri jaminan kepada sesiapa yang mengerjakan haji dan `umrah bahawa ALLAH akan menghapuskan kemiskinan mereka. Namun begitu ramai orang tak faham, mereka sangka wang mereka akan habis. Kita hendaklah yakin terhadap janji ALLAH kerana bermacam-macam cara ALLAH akan memberi rezki kepada kita.

Walaubagimana pun sekiranya kita hendak pergi haji dan `umrah pada kali yang kedua dan seterusnya, kalau ada jiran atau saudara mara kita memerlukan kewangan maka lebeh baik kita Bantu mereka kerana itu keperluan yang lebeh mendesak . Dalam pada itu kalau kita nak pergi melancung ke tempat lain , adalah lebih baik kita mengerjakan haji dan `umrah. WALLAAHU `AA`LAM.

Sekian . Semoga kita semua dirahmati ALLAH. Aamin.Ya RABBAL `AALAMIN. Wassalaamu`alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.

Saudaramu sesama Islam

naasiha@yahoo.com