Friday, March 23, 2007

BEBERAPA HUKUM BERKAITAN HAJI DAN UMRAH

Aassalamu`aalaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Untuk pengetahuan anda, terdapat font bahasa arab dalam mesej ini . Sekiranya arabic font tak kelihatan...yang kelihatan hanya lah unknown font ada cara untuk melihat paparan yang ditulis dengan arabic font itu dengan syarat menggunakan internet explorer 5 atau lebih tinggi lagi. Caranya ialah:

click view,

kemudian select encoding,

setelah itu select more dan click arabic window.

Insha ALLAH anda akan dapat melihat paparan atau tulisan yang ditulis dengan bahasa arab.

PERINGATAN KEPADA YANG MENANGGUHKAN MENGERJAKAN HAJI TANPA SEBAB.

HUKUM MENGERJAKAN HAJI DAN `UMRAH

Haji dan `Umrah hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Sallallaahu `alaihi wasallam dalam hadith sahih: “Haji itu hanya sekali ( wajibnya ). Barang siapa menambahkannya ( mengerjakan lebih dari sekali ), maka itu adalah tatawwu' (amalan sunnah atas kerelaan sendiri). “

Berdasarkan ayat dan hadith di atas, `ulama fiqh رحمهم الله sepakat menyatakan bahawa `ibadah haji wajib dilaksanakan setiap mukmin yang mempunyai kemampuan biaya, tubuh badan dan waktu ( zaman sekarang ini quota boleh dimasukkan kedalam syarat kemampuan kerana kalau kita daftar tahun ini untuk mengerjakan haji mungkin 4 tahun lagi baru boleh pergi ). tetapi mereka berbeza pendapat tentang bilakah kewajiban itu dimulai, adakah boleh ditunda atau wajib dilaksanakan segera setelah mampu. Imam Abu Hanifah, Imam Abu Yusuf ( sahabat dan murid Imam Abu Hanifah ), `ulama Mazhab Maliki dan pendapat yang terkuat di kalangan Mazhab Hanbali rahimahumullaah menyatakan bahawa apabila seseorang telah mampu dan memenuhi syarat, wajib terus mengerjakan `ibadah haji dan tidak boleh ditunda ('alal faur).

Jika pelaksanaannya ditunda sehingga beberapa tahun, maka orang tersebut dihukumkan fasiq, kerana penundaan tersebut termasuk maksiat. Jika pelaksanaan haji itu ditunda, kemudian wangnya habis, maka orang tersebut menurut mereka, mesti meminjam wang orang lain untuk mengerjakan `ibadah haji itu, kerana waktu wajib baginya telah ada tetapi dia telah menundanya.

Dalil `ulama yang menyatakan bahawa pelaksanaan ibadah haji tidak boleh ditunda bagi orang yang telah mampu dan memenuhi syarat adalah firman ALLAH dalam surah Aali 'Imran ayat 97 dan surah al-Baqarah ayat 196 seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Tuntutan untuk mengerjakan `ibadah haji itu adalah tuntutan yang sifatnya segera, oleh itu tidak boleh ditunda. Dalil lain yang mereka kemukakan ialah sabda Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam :

" Bersegeralah kamu kerjakan ` ibadah haji, kerana tidak seorang pun diantara kamu yang tahu apa yang akan terjadi kepadanya nanti.” ( HR Ahmad bin Hanbal rahiahullaah dari Ibnu Abbas Radhiallaahu `anhuma ) .

Bahkan dalam hadith lain Rasulullah Sallallaahu `alaihi wasallam seakan-akan mengecam orang yang menunda `ibadah hajinya. Rasulullah Sallallaahu `alaihi wasallam bersabda :

" Sesiapa yang tidak dalam keadaan sakit, tidak dalam kesulitan yang mendesak atau tidak dihalangi penguasa yang zalim tetapi dia tidak mengerjakan ` ibadah hajinya, jika dia mati maka terserah kepadanya memilih samada ingin mati dalam keadaan beragama Yahudi atau Nasrani ." ( HR Sa'id bin Mansur, Ahmad bin Hanbal, Abu Ya'la, dan Al-Baihaqi Rahimahumullah dari Abu Umamah Radhiallaahu `anhu tetapi salah seorang periwayatnya dhaif).

Hadith yang sama juga diriwayatkan oleh Imam At Tirmizi Rahimahullah , yang mana seorang perawinya juga dhaif.

Sa`id didalam sunannya , meriwayatkan dari `Umar Al Khattab radhiallaahu`anhu, bahawa dia berkata :

“ Aku bertekad mengutus beberapa orang utusan pergi ke wilayah-wilayah , memeriksa mereka yang mempunyai harta yang cukup namun tidak mahu mengerjakan haji, untuk membayar jizyah kerana mereka bukan muslim , mereka bukan muslim . “

Menurut mazhab Syafi'i , Ath Thauri, Al Auzaa`ie dan Muhammad bin Hasan asy-Shaibani rahimahumullaah , kewajiban haji itu boleh ditangguhkan ( 'alat-taraakhi ) , ertinya boleh dilaksanakan disetiap waktu dan tidaklah berdosa menangguhkannya asal sahaja dikerjakan sebelum dia meninggal dunia tetapi jika memang sudah mampu dianjurkan ( disunatkan ) segera mengerjakannya dengan maksud agar tanggung jawab atau kewajipannya lepas.

Oleh sebab itu, menurut mereka, pelaksanaan `ibadah haji bagi yang telah mampu dan memenuhi syarat boleh ditunda. Alasan mereka ialah Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam sendiri menunda pelaksanaan `ibadah haji sehingga tahun ke-10 Hijriah ( HR. al-Bukhari dan Muslim rahimahumallaah ), sedangkan kewajipan `ibadah haji telah disyariatkan pada tahun 6 Hijriah. Menurut mereka, ayat tentang kewajipan melaksanakan haji, iaitu surah al-Baqarah ayat 196-197 diturunkan pada tahun ke-6 Hijriah.

Menurut pendapat `Ulama` Shaafie` رحمهم الله , `ibadah haji difardhukan pada tahun ke 6 hijrah setelah turun ayat : واتموا الحج والعمرة لله

Sempurnakanlah haji dan `umrah kerana الله .

Dimaksudkan dengan sempurnakanlah di sini, ialah kerjakanlah atau laksanakanlah.

Manakala jumhur ( kebanyakan ) `ulama` رحمهم الله berpendapat bahawa `ibadah haji disyariatkan pada akhir tahun ke-9 Hijriah setelah turunnya firman الله :

ولله على الناس حج البيت من استطاع اليه سبيلا ومن كفر فإن الله غني عن العالمين

“ Dan الله mewajibkan ke atas manusia mengerjakan haji , bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya . Dan barang siapa mengingkari ( kewajiban haji ), maka sesungguhnya الله Maha Kaya ( tidak berhajat kepada sesuatu ) dari semesta alam . “ ( Aali `Imran : 97)

Ayat ini, menurut jumhur `ulama fiqh dan tafsir رحمهم الله diturunkan الله pada akhir tahun ke-9 Hijriah. Sedangkan Nabi صلى الله عليه وسلم hanya mengerjakan `ibadah haji pada tahun ke-10 Hijriah. Penundaan `ibadah haji ini, menurut mereka disebabkan adanya keuzuran ketika itu yang menghalang Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan umatnya mengerjakannya pada tahun ke-9 Hijriah.

Halangan tersebut adalah kerana musim haji telah pun berlalu ketika ayat ini diturunkan oleh

الله sehingga `ibadah haji hanya dapat dilaksanakan pada tahun berikutnya (10 Hijriah). Oleh sebab itu, Rasulullah صلى الله عليه وسلم hanya sempat mengerjakan haji sekali sahaja pada tahun ke-10 Hijriah kerana setelah itu baginda صلى الله عليه وسلم wafat, sebagaimana yang disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Muslim رحمهما الله .

Seorang ahli penganalisis hadith, Al Imam Ibnul Qayyim رحمه الله menguatkan pendapat yang menetapkan, bahawasanya `ibadah haji difardhukan pada tahun ke 9 Hijrah, atau tahun ke 10 Hijrah, tahun Nabi صلى الله عليه وسلم mengerjakan haji yang kemudian dikenali dengan “ Hajjatul Wada “ .

Sebelum ini kita telah menjelaskan bahawa `ulama Mazhab Syafi'i رحمهم الله berpendapat bahawa `ibadah haji disyariatkan sejak tahun ke 6 Hijriah, berbeza dengan pendapat jumhur ( majority ) `ulama fiqh رحمهم الله yang menyatakan haji mula di fardhukan pada tahun ke-9 Hijriah. Di samping itu, menurut mereka, hadith-hadith yang menyatakan bahawa menunaikan `ibadah haji wajib dikerjakan segera jika telah mampu dan memenuhi syarat adalah hadith dhaif yang tidak boleh dijadikan landasan hukum. Oleh itu dengan berpandukan hadith-hadith ini imam Asy Syafi'i رحمه الله berpendapat " sunat " menyegerakannya.

Secara ringkasnya , hukum menyegerakan haji dan `umrah atau menangguhkannya setelah cukup syarat adalah seperti berikut : -

1.Wajib menyegerakannya.

2.Sunat menyegerakannya.

Apabila diteliti hujah masing-masing, kita dapati pendapat `ulama yang mengatakan wajib menyegerakannya dan tidak boleh ditangguh adalah pendapat yang terkuat . Oleh itu kita harap masyarakat umat islam Malaysia tidak lagi menangguhkan pemergian ke Makkah untuk mengerjakan haji dan `umrah, seperti yang berlaku sekarang .

Tujuan saya menyentuh masalah ini ialah kerana ada segelintir umat islam , apabila ditanya : “ Kenapa tak mahu kerjakan haji ? “ Mereka jawab : “ Masa masih panjang lagi, nantilah apabila tidak sibuk nanti , lagi pun boleh di tangguh .“ Kalau kita kata : “ Nanti mati tak sempat nak kerjakan haji . “ Mereka jawab : “ Tak mengapa kerana tidak wajib menyegerakannya , kalau aku mati pun waris akau boleh mengupah orang untuk mengerjakan haji untuk aku . “

Inilah dia mentaliti segelintir umat islam Malaysia yang memandang remeh masalah menyegerakan haji. Mereka tidak merasa gerun terhadap ancaman Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam seperti hadith :

"Sesiapa yang tidak dalam keadaan sakit, tidak dalam kesulitan yang mendesak atau tidak dihalangi penguasa yang zalim tetapi dia tidak mengerjakan ` ibadah haji, jika dia mati terserah kepadanya memilih samada mati dalam keadaan beragama Yahudi atau Nasrani ."

Kalau pun mereka berpegang kepada pendapat mazhab Shafi`i tetapi mereka amat jauh sekali menyimpang dari amalan `ulama mazhab Shafi`i rahimahumullah yang tidak memandang ringan `ibadah sunat kerana ibadah sunat merupakan proses untuk mendampingkan diri kepada ALLAH . Malah `ulama mazhab Shafi`i rahimahumullah menganggap perkara yang sunat itu seolah-olah wajib walau pun mereka berfatwa hukumnya sunat. Begitu juga terhadap perkara yang makruh, mereka menganggapnya seolah-olah haram kerana makruh bererti yang dibenci oleh ALLAH . Itulah dia sikap `ulama mazhab Shafi`i dan `ulama mazhab yang lain dizaman silam rahimahumullaah kerana mereka mahu mencontohi Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam yang sentiasa melakukan perkara yang sunat dan mewajibkanya untuk dirinya seperti Qiyamul lail , solat dhuha dan sebagainya.

Mentaliti umat islam terutamanya di Malaysia wajib diubah agar mereka tidak memandang ringan perkara-perkara sunat dan makruh. Ini merupakan tugas ahli-ahli agama untuk menyedarkan mereka. Lagi pun sekiranya ada dua pendapat diantara wajib dan sunat , maka adalah lebih baik kita mengambil pendapat yang mengatakan wajib kerana untuk berhati-hati ( ihtiat ) dan supaya lebih selamat. Begitu juga dengan makruh dan haram , adalah lebih baik kita menganggap haram.

BERAPA KALI NABI صلى الله عليه وسلم MENGERJAKAN `UMRAH ?

Ibnu `Abbas رضي الله عنه meriwayatkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم dalam hidupnya mengerjakan `umrah empat kali:

1. `Umrah Hudaybiyah (gagal kerana dihadang musuh),

2. `Umrah qadha` (tahun berikutnya, saat pembebasan Makkah),

3. `Umrah dari Ji`raanah.

4. `Umrah bersama Haji Wada` ( qiran ).

Anas رضي الله عنه berkata : Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengerjakan ` ibadah haji sekali dan `umrah empat kali.

1.`Umrah dalam bulan Dzulqa`idah 2.`Umrah Hudaybiyah .

2.`Umrah yang dikerjakan bersama ibadah haji.

4.`Umrah dari Ji`raanah ketika membahagikan harta rampasan perang Hunain.

( HR Al Bukhari dan Muslim رحمهما الله )

`Ibadah `umrah itu semuanya dikerjakan dalam bulan Dzulqa`idah, kecuali `ibadah `umrah yang dikerjakan bersama `ibadah Haji . `Ibadah `umrah tersebut ialah :

1. `Ibadah `umrah secara berihram dari Hudaibiah atau `ibadah`umrah yang dikerjakan sewaktu peristiwa perjanjian Hudaibiah dalam bulan Dzulqa`idah,

2. `Ibadah `umrah tahun berikutnya yang dikerjakan dalam bulan Dzulqa`idah,

3. `Ibadah `umrah secara berihram di Ji'raanah sewaktu Nabi sallallaahu `alaihi wasallam membahagi harta rampasan perang di Hunain, juga dalam bulan Dzulqa`idah

4.`Ibadah `umrah yang dikerjakan bersama `ibadah haji .

Antara haji dan `umrah terdapat perbezaan, samada dari segi hukum mengerjakannya, jenis amalan yang mesti dikerjakan ( manasik ) atau dari sudut waktu pelaksanaannya ; sekalipun `umrah boleh dikerjakan sebelum mengerjakan `ibadah haji secara beriringan dengan mengerjakan `ibadah haji atau sesudah melaksanakan `ibadah haji , namun demikian, setiap orang yang mengerjakan `ibadah haji boleh terus mengerjakan `umrah secara beriringan tetapi bukan semua orang yang ber`umrah boleh mengerjakan haji beriringan . Ini bermakna seseorang itu boleh mengerjakan `umrah di bulan-bulan haji dan boleh juga ber`umrah di bulan-bulan yang lain. Ini pernah dilakukan oleh `Umar رضي الله عنه kerana `Umar رضي الله عنه pernah ber`umrah di bulan Syawwal lalu kembali ke Madinah tanpa berhaji

Masyarakat Jahiliyyah menganggap bahawa ber`umrah di bulan haji merupakan kejahatan besar. Mereka mengatakan bahawasanya `umrah dilakukan setelah berakhirnya bulan Safar apabila telah selesai jejak kaki orang berhaji dan semua mereka telah kembali dari haji.

Setelah datang Islam Nabi صلى الله عليه وسلم menyuruh para sahabat رضي الله عنهم ber`umrah di bulan haji dan memasukkan `umrah ke dalam haji dan hal ini berlaku hingga qiamat.

MENGERJAKAN `UMRAH BERULANG KALI DALAM SETAHUN

Sebenarnya haji dan `umrah sudah pun terkenal di zaman jahiliyah. Masyarakat Jahiliyah bertawaf dengan bertelanjang. Apabila Islam datang, adat Jahiliyah yang keji ini dihapuskan, begitu juga dengan adat-adat dan kemungkaran yang lain.

`Ibadah haji juga terdapat dalam syari'at yang lain. Ada yang mengatakan bahawasanya Nabi Adam عليه السلام berulang kali mengerjakan haji. Jibri عليه السلام memberitahunya bahawa malaikat bertawaf mengelilingi Kaa`bah. Nabi Ishaq dan nabi-nabi yang lain عليهم السلام juga mengerjakan haji. Menurut sebahagian ulama رحمهم الله , semua Nabi عليهم السلام mengerjakan haji.

Di antara ayat-ayat yang menandakan bahawasanya haji telah pun ada dan di laksanakan sebelum Islam, adalah :

وإذ بوأنا لإبراهيم مكان البيت ألا تشرك بي شيئاً وطهر بيتي للطائفين والقائمين.والركع السجود

" Dan ingatlah ketika KAMI ( الله ) tempatkan untuk Ibrahim tempat Al BAIT, Kami titahkan: Hai Ibrahim ! janganlah engkau menyengutukan sesuatu dengan-KU dan sucikanlah rumah-KU untuk mereka yang tawaf, i'tikaf, ruku` dan sujud. " ( Al Hajj : 26 ).

Dan firman ALLAH :

" Serulah manusia wahai Ibrahim, tentang haji nescaya mereka akan datang kepadamu dari segenap penjuru. "( Al Hajj : 22 ).

Diriwatkanlah oleh Al Bukhari, Muslim dari Ash Sya'bi رضي الله عنه , ujarnya :

" Di Safa ada satu berhala yang dinamakan Asaf dan di Marwah ada satu patung yang dinamakan Naa ilah . Masyarakat jahiliyah bersa'i di antara keduanya " . Setelah Islam datamg , berhala-berhala itu disingkirkan dari situ. Umat Islam beranggapan bahawa orang-orang Jahiliyah bersa'i kerana berhala. Lantaran itu ummat Islam enggan bersa'i, maka الله menurunkan ayat :

إنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللهِ

" Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah dari syi'ar-syi'ar الله " ( Al-Baqarah ;158 ).

Dalam sebahagian riwayat diterangkan bahawa ketika turun ayat haji :

ومن كفر فإن الله غني عن العالمين

“Dan barang siapa mengingkari ( kewajiban haji ), maka sesungguhnya الله Maha Kaya ( tidak berhajat kepada sesuatu ) dari semesta alam . “ ( Aali `Imran 3 : 97) Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengumpulkan orang-orang musyrikin, Nasrani dan Yahudi, Majusi dan Saabi'in serta memberitahu mereka bahawasanya الله telah memfardhukan haji, dan hendak lah mereka semua berhaji. Perintah ini ditaati oleh Muslimin رحمهم الله dan ditolak oleh orang-orang Kafir.

Oleh itu turunlah firman

ومن كفر فإن الله غني عن العالمين

" Dan barang siapa yang kufur ( tidak mahu mengerjakan haji ), maka sesungguh nya الله Maha kaya dari semesta alam." (Aali Imran: 97 ).

Sebelum ini kita telah menjelaskan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم berhaji sekali sahaja iaitu pada tahun 10 Hijriah. Manakala para Muslimin رحمهم الله telah berhaji pada tahun 9 Hijriah iaitu sesudah Fathu Makkah ( Pembukaan dan pembebasan Makkah ). Sahabat yang dilantik mengetuai haji ketika itu ialah Abu Bakr رضي الله عنه .

Pada tahun tersebut Nabi صلى الله عليه وسلم bersama para sahabat رضي الله عنهم tidak turut serta kerana orang-orang musyrikin masih berpegang kepada perjanjian Hudaibiyah. Mereka masih masuk ke dalam masjid dan bertawaf dengan bertelanjang. Lantaran itu Nabiصلى الله عليه وسلم menunda hajinya selama satu tahun.

Pada tahun 9 Hijriah itu Nabi صلى الله عليه وسلم menyuruh `Ali menyusul Abu Bakr radhiallaahu `anhuma dan menyampaikan kepada khalayak yang berkumpul pada hari Nahar ( hariraya ) bahawa orang-orang musyrikin tidak dibenarkan berhaji lagi pada tahun akan datang dan tidak boleh lagi bertawaf dengan bertelanjang.

Dengan demikian murnilah Kaa'bah sebagai tempat beribadah kepada الله dan murnilah Al Masjidil Haram untuk orang-orang yang mengerjakan tawaf, ruku' dan sujud.

Pada tahun 10 Hijriah Nabi صلى الله عليه وسلم mengerjakan haji yang kemudian terkenal dengan “ Hajjatul Wada “ ( Haji Selamat Tinggal atau Haji Perpisahan ). Haji yang dikerjakan Nabi

صلى الله عليه وسلم inilah yang menjadi pegangan kita dalam mempelajari ibadah haji dan `umrah.

Nafi` رحمه الله menerangkan , bahawa Abdullah Ibnu `Umar رضي الله عنه ber`umrah dua kali setiap tahun di masa pemerintahan Az Zubair رضي الله عنه .

Al Qassim menerangkan bahawa 'Aisyah رضي الله عنها ber`umrah dua kali dalam setahun. Ada orang bertanya adakah perbuatan 'Aaisyah رضي الله عنها itu dicela oleh sebahagian sahabat
رضي الله عنهم atau adakah yang mencelanya ? Al Qassim رحمه الله berkata : " Subhaanallaah ! tiada siapa yang mencela perbuatan Ummul Mu'minin radhiallaahu `anha. “

Demikianlah pendapat `Ulama رحمهم الله , disukai ber`umrah berulang kali dalam setahun seperti yang dilakukan oleh `Ali, Ibnu `Umar, Anas, Ibnu `Abbas dan `Aaishah

رضي الله عنهم , kerana Nabiصلى الله عليه وسلم bersabda : “Dari satu `umrah ke `umrah yang berikutnya adalah kaffarah ( pembersih dosa ) yang ada di antara keduanya.”( HR Ahmad, Al Bukhari dan Muslim رحمهم الله ).

Dan dari Ibnu Mas`ud رضي الله عنه , bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : " Iringilah ( susulilah ) antara haji dan `umrah kerana keduanya dapat menghilangkan kemiskinan dan dosa sebagaimana ahli logam membuang karat dari besi, perak, dan emas. Tiada lain pahala yang diterima haji yang mabrur kecuali syurga ." ( HR At Tirmidzi, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban . Kata At Tirmidzi : hadith ini darjatnya hasan sahih ) .

kata Ibnu `Abbas Radhiallaahu `anhuma bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda : “ Satu `umrah dalam bulan Ramadhan menyamai satu haji atau haji bersamaaku.“ ( HR Al Bukhari dan Muslim رحمهما الله ) .

Imam Malik رحمه الله pula tidak menyukai kita berihram lebih dari sekali dalam setahun.

Kata Ash Sheikh `Abdul `Aziz Bin Abdullah Bin Baz رحمه الله : “ Ada pun mengerjakan `umrah berulang kali selepas selesai mengerjakan haji dengan keluar untuk berihram ke Tan`im, Ji`raanah atau lainnya, sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian orang padahal sudah mengerjakan `umrah sebelum haji, tidak mempunyai satu dalil pun yang menunjukkan disyariatkan amalan ini. Bahkan nas-nas yang ada menunjukkan bahawa yang utama ialah meninggalkannya kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para sahabat رضي الله عنهم tidak pernah melakukannya setelah mereka menyelesaikan haji , kecuali `Aaishah رضي الله عنها . Beliau mengerjakan `umrah adalah kerana beliau belum lagi mengerjakan `umrah bersama orang lain ketika masuk Makkah kerana datangnya haidh. Kerana keuzurannya beliau meminta izin Nabi صلى الله عليه وسلم untuk mengerjakan `umrah , sebagai ganti umrahnya yang telah diniatkan sejak dari Miqat dan Nabi صلى الله عليه وسلم mengizinkannya . Dengan demikian beliau telah mengerjakan `umrah sebanyak dua kali, iaitu `umrah yang dilakukan bersamaan dengan amalan hajinya dan `umrah secara tersendiri. Oleh itu sesiapa yang mempunyai kes sama seperti `Aaiahah رضي الله عنها maka tidak mengapa dia mengerjakan `umrah selepas selesai haji kerana mengamalkan hadith ini dan memberi keluasan kepada umat Islam . Namun begitu, tidak diragukan lagi, selain `umrah yang telah mereka lakukan ketika masuk Makkah , adalah menyusahkan orang ramai dan menyebabkan berasak-asakan serta boleh menyebabkan kecelakaan , di samping menyalahi sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم . “

Shaikhul Ibnu Taimiah رحمه الله memakruhkan memperbanyakkan keluar dari Makkah untuk mengerjakan `umrah sunat dan ianya bid`aah kerana ittifaq ( sepakat ) `ulama rahimahullah menyatakan bahawa ianya tidak pernah dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم , para sahabat dizamannya kecuali `Aaishah رضي الله عنهم kerana kesnya berlainan seperti yang telah diterangkan di atas. Menurut beliau lagi mengerjakan `umrah pada selain bulan-bulan haji adalah lebih afdhal dari ber`umrah dalam bulan-bulan haji dan yang afdhal ialah dalam bulan Ramadhan kerana hadith :

“ `Umrah dalam bulan Ramadhan menyamai satu haji .“ ( HR Al Bukhari dan Muslim رحمهما الله ) .

Manakala Ibnul Qayyim رحمه الله pula berpendapat bahawa ber`umrah dalam bulan-bulan haji lebih afdhal dari ber`umrah pada selain bulan-bulan haji .

Pendapatnya ini berasas kerana menurut pandangannya bahawa masyarakat Jahiliyyah menganggap bahawa ber`umrah di bulan haji merupakan kejahatan besar. Mereka mengatakan bahawasanya `umrah dilakukan setelah berakhirnya bulan Safar apabila telah selesai jejak kaki orang berhaji dan semua mereka telah kembali dari haji .

Ada pun mengerjakan umrah sebanyak 7 kali sebagaimana dilakukan oleh sesetengah orang adalah menyalahi sunnah. Yang lebih teruk lagi ialah beriktiqad bahawa mengerjakan 7 kali umrah menyamai satu haji kerana tiada hadith yang menerangkanya. Oleh itu hendaklah menjauhkan diri dari berikiqadkan sedemikian kerana di khuatiri menambahkan hadith palsu. Sabda Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam : Baransiapa yang mengtakan ucapan yang bukan aku ucapkan maka sesungguhnya dia telah menempah sebuah kerusi dalam neraka ".

Adalah lebih baik sekiranya seseorang yang telah selesai mengerjakan umrah buat pertama kalinya megerjakan pula umrah untuk arwah yang telah meninggal dunia. Selepas itu memperbanyakkan tawaf di Baitullah kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan kepada umat Islam agar mereka melaksanakan tawaf di Baitullah Ka’bah, sebagai rumah pertama yang dibinakan untuk manusia, di mana kaum muslimin berkumpul di tempat tersebut sebagai tanda berserah diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Demikian besarnya peranan tawaf dalam amalan haji dan umrah, sehingga Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadikan amalan pertama yang dilakukan seorang yang menunaikan ibadah haji dan umrah ketika memasuki Masjidil Haram adalah tawaf. Demikian pula akhir amalan mereka diakhiri dengan Tawaf Wada’. Telah diriwayatkan dalam Al-Bukhari dan Muslim dari hadith `Aisyah radhiyallahu 'anha dia berkata:

“Sesungguhnya yang pertama Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memulai dengannya ketika datang adalah berwudhu kemudian tawaf.”

Ini juga menunjukkan bahwa tawaf di Ka’bah merupakan ibadah yang mulia dan ketaatan yang amat besar, amalan yang sangat dicintai Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sehingga seseorang tidak diperbolehkan melakukan tawaf di suatu tempat (selain Ka’bah) dengan maksud bertaqarrub kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata: “Kaum muslimin telah bersepakat bahwa tidak disyariatkan tawaf kecuali di Al-Baitul Ma’mur (Ka’bah). Sehingga tidak boleh tawaf di batu besar Baitul Maqdis, tidak di kamar Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, tidak di kubah yang ada di bukit Arafah, dan tidak pula di tempat lainnya.” (Majmu’ Fatawa, 4/522)

Beliau rahimahullah juga berkata: “Di bumi ini, tidak ada sebuah tempat yang dibolehkan tawaf padanya seperti tawaf di Ka’bah. Barangsiapa berkeyakinan bahwa tawaf di tempat lainnya disyariatkan maka dia lebih jahat dari orang yang meyakini bolehnya solat menghadap selain Ka’bah. Sebab Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam tatkala berhijrah dari Makkah ke Madinah, beliau solat memimpin kaum muslimin selama 18 bulan menghadap ke Baitul Maqdis, yang menjadi kiblat kaum muslimin selama kurun waktu tersebut. Lalu Allah Subhanahu wa Ta'ala pindahkan kiblat ke arah Ka’bah dan Allah Subhanahu wa Ta'ala turunkan Al-Qur`an tentang hal tersebut, sebagaimana yang disebutkan dalam Surat Al-Baqarah. Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersama kaum muslimin solat menghadap ke Ka’bah yang telah menjadi kiblat, dan itu adalah kiblat Ibrahim dan para nabi selainnya. Maka barangsiapa yang menjadikan sakhrah (batu besar di Baitul Maqdis) pada hari ini sebagai kiblat yang dia solat menghadap ke arahnya, maka dia kafir murtad dan diminta bertaubat. Jika tidak mahu maka dia dibunuh. Padahal dahulu batu itu berstatus sebagai kiblat. (Al-Fatawa, 27/10-11)

KESIMPULANNYA :

Tidaklah menjadi kesalahan kita melakukan umrah yang sunat untuk kali yang kedua , sekiranya kita mempunyai wang untuk mengerjakan haji tetapi jika dengan sebab kita mengerjakan umrah maka kita tidak mempunyai wang untuk mengerjakan haji maka itu adalah salah dan mungkin jadi haram..

Walaubagaimanapun sekiranya kita nak kerjakan umrah sunat tetapi kalau ada jiran atau saudara mara kita memerlukan kewangan maka lebeh baik kita bantu mereka kerana itu keperluan yang lebeh mendesak . Dalam pada itu kalau kita nak juga pergi melancung ke tempat lain maka adalah lebeh baik kita mengerjakan `umrah.

Sekian semoga bermanfaat. WALLAAHU `AA`LAM. Semoga kita semua sentiasa dibimbing, diberkati, dirahmat dan di lindungi ALLAH dari segala musibah.Aamin Yaa Rabbal `aa lamin. Wassalaamu `alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.

Saudaramu sesama Islam

naasiha@yahoo.com

No comments: