Monday, March 26, 2007

HUKUM WANITA PERGI HAJI DAN UMRAH TANPA MAHRAM

Assalaamu`alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.

Didalam buku saya , ada saya terangkan masalah ini tetapi buat masa ini saya tengah mengeditnya semula dan maaf saya tak boleh kirimkan lagi kepada anda.

Sebenarnya perbahasan ini bukan setakat perbahasan wanita mengerjakan haji atau `umrah tanpa mahram ( bukan muhrim ) sahaja tetapi ianya merangkumi hukum wanita bermusafir bersendirian tanpa ditemani oleh mahram, samada bermusafir untuk mengerjakan haji dan umrah atau bermusafir kemana sahaja.

Dibawah ini saya lampirkan sedutan dari buku saya .

Kata Imam An Nawawi رحمه الله dalam kitab “ Matan Al Iidhah Fil Manasik : Sekiranya dia seorang isteri maka wajib dia minta izin suaminya dan kaum kerabatnya. Sunat bagi suami mengerjakan haji bersama-sama isterinya. Suami berhak menghalang isterinya untuk mengerjakan haji atau `umrah sunat. Sekiranya isteri berihram juga maka suaminya boleh memaksanya bertahallul. Begitu juga haji atau `umrah wajib, suami berhak menghalang isterinya, mengikut pendapat yang azhar kerana isteri wajib mentaati suami dengan segera kerana walau pun haji itu wajib tetapi bukan dengan segera mengikut mazhab Shafi`e . Sekiranya isteri itu telah diceraikan maka suami berhak menahannya dari mengerjakan haji atau `umrah selama dia masih dalam `iddah, kecuali di didalam beberapa keadaan kerana hak suami terhadap isteri itu segera, manakala menunaikan haji fardhu tidak wajib mengerjakannya dengan segera “ .

Namun begitu sebahagian `ulama` tidak sependapat dengan Imam An Nawawi dalam masalah ini.


SYARAT WAJIB HAJI DAN `UMRAH UNTUK WANITA

Menurut `ulama fiqh رحمهم الله lagi , syarat wajib dan `umrah untuk wanita ialah semua yang telah dinyatakan dan ditambah dengan dua syarat yang khusus , iaitu ;-

Orang perempuan tidak wajib mengerjakan haji dan `umrah sehinggalah dia mempunyai suami atau mahram yang boleh menemaninya didalam perjalanan berdasarkan kepada hadith Ibnu `Abbas رضي الله عنه , katanya: Aku mendengar Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda : " Seseorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seseorang perempuan kecuali bersama mahramnya. Orang perempuan tidak boleh bermusafir melainkan bersama marham. Seorang lelaki berdiri lalu berkata : " Wahai Rasulullah! aku ditugaskan menyertai peperangan ini dan ini sedangkan isteriku hedak mengerjakan haji" Maka sabda Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda : " Pergilah dan kerjakan haji bersama isterimu . " ( HR. al-Bukhari, Muslim dan Ahmad bin Hanbal رحمهم الله ).

Mazhab Hanafi dan Mazhab Hanbali رحمهم الله : Mereka meletakkan syarat bahawa wanita tidak boleh keluar ( untuk mengerjakan haji ) melainkan bersama suami atau mahram.

Mazhab Syafie :
`Ulama Mazhab Syaafi'i رحمهم الله menyatakan bahawa jika ada beberapa wanita yang dapat dipercayai mendampingi wanita yang tidak mempunyai suami atau mahramnya mengerjakan haji, maka wanita yang tidak mempunyai suami atau mahram itu wajib mengerjakan haji. Ini bermakna bahawa disyaratkan bersama suami atau mahram atau beberapa orang perempuan yang thiqah ( dipercayai ) dan ada yang berpendapat cukup hanya dengan seorang perempuan yang thiqah sahaja.

Mazhab Maaliki :
Wanita dibolehkan keluar untuk mengerjakan haji dengan ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai. Dalil `ulama Mazhab Maaliki dan Mazhab Syaafie` رحمهم الله adalah firman الله dalam surah Aali 'Imran (3) ayat 97 di atas.
Menurut mereka, yang dipentingkan oleh ayat ini adalah keamanan bagi orang yang akan mengerjakan haji. Apabila keamanan wanita itu terjamin, maka dia wajib mengerjakan haji. Namun begitu ada satu syarat lagi yang mesti dipenuhi iaitu jarak di antara dia dan Makkah adalah perjalanan selama satu hari satu malam dan jika seseorang perempuan menyalahi syarat ini dan mengerjakan haji tanpa ditemani suami atau mahram, hajinya dikira sah tetapi dia berdosa.

Wanita itu pula bukanlah yang dalam keadaan menjalani masa `iddah, samada `iddah kerana talak atau pun `iddah kerana kematian suami. Syarat ini didasarkan atas firman الله dalam surah at- Talaq (65) ayat 1:
"...Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka diizinkan keluar..."

Dalam pada itu `ulama Mazhab Hanbali رحمهم الله membolehkan wanita yang dalam menjalani `iddah talak mengerjakan haji, tetapi melarang wanita yang kematian suami mengerjakan `ibadah haji. Alasan mereka ialah wanita yang sedang menjalani `iddah wafat wajib untuk tetap berada di rumah mereka, sebagai penghormatan terhadap suami mereka yang baharu meninggal. Sedangkan bagi wanita yang di talak tidak demikian. Wanita yang di talak suaminya, menurut mereka, tidak semestinya sentiasa di rumah, tetapi mereka dibolehkan bermusafir, khususnya dalam rangka menunaikan berbagai kewajipannya. Oleh sebab itu, apabila wanita yang di talak ini telah memenuhi syarat-syarat untuk melaksanakan `ibadah haji, maka wajib bagi mereka melaksanakan `ibadah haji, sebagaimana yang berlaku pada wanita yang tidak ber`iddah.

Ada juga ulama' رحمهم الله yang berpendapat cukup seorang wanita sahaja yang menjadi teman asalkan aman didalam perjalanan. Menurut pendapat yang lain mesti ada ramai wanita yang menemani.

As San'aani رحمه الله dalam kitab “ Subulus Salam “ menerangkan bahawa : “ Segolongan ulama' رحمهم الله berpendapat bahawa wanita yang telah tua boleh bermusafir tanpa mahram “.

Ulama` yang membolehkan wanita bermusafir tanpa mahram atau suami sekiranya ditemani oleh orang yang dapat dipercayai atau perjalanannya dianggap aman berdalilkan dengan hadith :
" Ketika aku bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم tiba-tiba dating seorang lelaki mengadu tentang kemiskinannya. Kemudian datang lagi seorang lelaki mengadu tentang halangan-halangan di perjalanan. Jawab Nabi صلى الله عليه وسلم : Hai `Adi! adakah engkau telah melihat kampung HAIRA, sebuah kota dekat Kufah ? `Adi menjawab : Saya belum pernah melihatnya tetapi pernah orang menerangkan kepadaku tentangnya. Nabi صلى الله عليه وسلم berkata : " Jika engkau hidup lama, nescaya engkau akan melihat usungan wanita yang berangkat dari Haira menuju Makkah dan bertawaf mengelilingi Ka'abah, tak ada yang ditakuti selain الله ."

Dan juga berdasarkan peristiwa isteri-isteri Rasulullah رضي الله عنهن telah pergi berhaji setelah diizinkan oleh `Umar رضي الله عنه , ketika kali terakhir `Umar berhaji , dengan ditemani oleh `Uthman Ibnu `Affan dan `Abdul Rahman Ibnu `Auf رضي الله عنهما. `Uthman رضي الله عنه melarang para jemaah mendekati rombongan isteri-isteri Rasulullah dan memandang mereka, sedang mereka duduk di atas usungan yang diletakkan di atas belakang unta.

Walau bagaimana pun sekiranya para wanita menyalahi aturan itu, iaitu pergi berhaji tanpa suami atau mahram yang dianggap wajib oleh sebahagian ulama' رحمهم الله , bahkan dijadikan syarat wajibnya haji, maka hajinya itu sah.

Kata pengarang kitab Subulus Salam : “ Ibnu Taimiyah رحمه الله berkata : " Sah haji yang dilakukan oleh wanita yang tidak disertai mahramnya dan haji yang dikerjakan oleh orang yang dipandang tidak sanggup mengerjakan haji. "

WALLAAHU `AA`LAM.

Harap penjelasan ini bermanfaat. Kepada ALLAH saya berserah . Semoga ALLAH membimbing kita semua kearah jalan yang benar. Aamin.

4 comments:

open minded said...

assalamualaikum, saya telah membaca tulisan. namun saya msih ada pertanyaan, iddah kmatian suami, isteri dilarang utk pergi menunaikan umrah.adakah larangan ini membawa kepada pengertian haram,harap diberi penjelasan

Pengiriman Paket Luar Negeri said...

Assalamu'alaikum.wr.wb..Insha Allah saya berniat umroh bersama ibu saya,ibu saya seorang janda krn ayah sdh meninggal,begitu jg saya seorang janda yg suami jg sdh meninggal..bagaimanakah hukumnya?jika saya umroh hanya dg ibu..mohon penjelasan...wassalamu'alaikum.wr.wb

Unknown said...

bukankah kebaynakan jemaah dari malaysia berkumpulan? Meraka boleh diberi taklimat dlm kelas untuk sama2 menjaga/melihat antara satu sama lain.Sekiranya berlaku kematian pihak agensi perlu bertanggungjawab menguruskan dan pihak keluarga perlu sedia maklum terlebih dahulu akan peraturan sekirnaya berlaku kematian disana,,,pihak agensi sepatutnya akan bertanggungjawab untuk menguruskannya.Saya rasa agak tidak adil untuk wanita menunaikan umrah/haji tanpa mahram disekat.Pihak agensi sepatutnya menjaga mengawasi mereka dari awal hingga pulang ke tanah air. Pihak arab saudi sepatutnya menggunakan peraturan tersebut hanya kepada mana2 individu yg pergi sendirian tanpa berkumpulan dengan agensi yg bertanggunjawab keatas mereka.

Arti Masjidil Haram said...

terima kasih, memang selama ini hanya indonesia yang membolehkan tanpa mahram