Friday, March 6, 2009

UMRAH MUSIM CUTI SEKOLAH,RAMADHAN DAN MUSIM PUNCAK

Assalaamu`alaikum semua. Saya harap anda semua di beri kesihatan oleh ALLAH untuk mengabdikan diri kepadaNYA.

Kali ini saya ingin terangkan kepada anda tentang berumrah dalam waktu puncak ( peak season ) seperti cuti sekolah di Malaysia, cuti di Negara –negara Arab teluk dan bulan Ramadhan. Harganya naik antara 300 RM - 500RM.

Harga tidak menjadi masalah.bagi anda , walau pun harganya naik rasanya anda mampu membayarnya tetapi masalah yang paling utama ialah untuk mendapatkan seat pesawat kerana terlalu ramai orang nak pergi cuti sekolah. Mengikut rekod tahun-tahun lepas seramai 15000 rakyat Malaysia pergi Makkah sewaktu cuti sekolah. Bayangkanlah berbelas ribu rakyat Malaysia mengerjakan umrah cuti sekolah, oleh itu semua pesawat yang beroperasi ke Jedah tak dapat nak menampung jemaah yang ramai. Setiap tahun ramai jemaah yang nak pergi betul-betul dalam cuti sekolah terkandas dan penerbangan mereka ditunda.

Saya pun nak pergi cuti sekolah bulan Mei ini tetapi saya beri cadangan sekiranya boleh , kita pergi mungkin beberpa hari sebelum cuti sekolah atau minggu pertama dalam cuti kerana nak dapatkan seat betul-betul dalam cuti sekolah amat sukar sekali.

Sepanjang saya memimpin jemaah , sebanyak 4 kali kami berangkat dalam cuti sekolah dan satu kali dalam bulan puasa. Untuk pengetahuan anda musim cuti sekolah dan bulan puasa adalah musim puncak, harga ticket naik antara 200RM - 300 RM dan nak dapatkan seat adalah sukar tetapi melalui cara yang saya lakukan alhamdulillah setakat ini saya tidak pernah terkandas. Tahun-tahun lepas saya beritahu jemaah bahawa belum tentu akan dapat seat pada tarikh yang kita inginkan, cuma saya boleh berikhtiar sahaja dan jangan terlalu mengharapkan sangat tarikh yang kita nak pergi kerana mungkin kita dapat seat sebelum bermulanya dua tiga hari atau 1 minggu cuti sekolah atau sesudahnya.

Oleh kerana saya cakap begitu , ada jemaah yang tidak yakin kepada saya dan tak mahu pergi dengan saya. Saya nak buat macam mana, saya tak akan berjanji sepertimana orang lain berjanji yang akhirnya tarikh ditunda.

Seperti yang saya telah jelaskan dalam mesej terdahulu bahawa pada cuti sekolah 2004 , sewaktu saya nak mengerjakan `umrah kawan isteri saya nak ikut sama ,namun begitu suaminya nak pergi dengan orang lain yang mem promote kan umrah di tempat kerjanya. Jemaahnya lebih 50 orang. Puas dia pujuk suaminya pergi dengan saya dan saya juga menyatakan kepada suaminya tentang pengalaman saya, Saya katakan kepadanya bahawa mengikut pengalaman saya yang dah beberapa kali buat urusan umrah pada waktu cuti sekolah, amat sukar nak dapatkan seat pesawat lebih-lebih lagi kalau kita bawa jemaah yang ramai tetapi walaubagaimana pun Alhamdulillah , setakat ini jemaah saya tidak pernah tergendala . Dia berkeras menyatakan bahawa orang itu kata ada banyak seat. Saya kata ,orang itu cakap begitu kerana takut kita lari ke travel agensi yang lain dan inilah yang selalu berlaku. Oleh kerana dia terlampau percaya kepada orang itu saya tak dapat nak berbuat apa-apa.

Mengikut jadualnya dia bertolak dahulu daripada saya tetapi akhirnya saya dan jemaah saya seramai 10 orang ( termasuk saya ) bertolak dahulu ke Makkah sedangkan dia belum bertolak lagi kerana ditunda keberangkatan beberapa kali. Dia lewat 3 hari dari saya.

Di Makkah, kami bertemu dengannya dan dia menceritakan kesukarannya kerana banyak kali transit, ada diantara jemaah itu terkandas di Yaman kerana tiket tak confirm. Kemudian dia berangkat ke Jedah 2 hari sebelum saya . Ini bermakna pakej dia hanya 10 hari sedangkan janjinya 2 minggu. Tiba-tiba pada malamnya dia datang ke tempat saya , mengatakan mereka balik semula ke Makkah kerana tiket tak dapat confirm. Dia kata ustaz dan ustazah yang membimbing mereka menyuruh membayar dam seekor kambing kerana mereka sudah pun mengerjakan tawaf wada`( yang benar sebutannya ialah wada` , bukan wida` ) . Saya suruh dia beritahu jemaahnya supaya jangan menbayar dam , apabila keluar dari Makkah nanti hendaklah sekali lagi mengerjakan tawaf wada`. Lagi pun tawaf wada` umrah ini khilaf ulama tentang hukumnya, ada yang mengatakan wajib dan ada yang berpendapat ianya sunat.

Tahun lepas bapa sepupu saya ( sepupu ayah saya ) yang tanya saya umrah cuti sekolah. Saya beritahu dia bahawa cuti sekolah susah nak dapat seat . Bapa sepupu saya ini dan kenalannya seramai 60 nak ikut pergi bersamanya dan dialah yang mereka serahkan untuk buat urusan. Mereka ini semua nak naik pesawat MAS atau Saudia kerana tak nak singgah dimana-mana tempat. Saya katakan sukar nak dapat seat MAS dan Saudia pada musim cuti sekolah tetapi kalau nak naik pesawat Qatar insha` ALLAH saya boleh ikhtiarkan.

Sebelum itu dalam bulan Mei 2007 saya pergi dengan pesawat Qatar. Kawan saya , lulusan Universiti Ummul Qura , Makkah menolong saya mendapatkan seat Qatar Airways. Jadi senanglah saya nak dapat ticket Qatar. Ada pun kalau nak naik pesawat MAS saya boleh cuba ikhtiarkan tetapi saya tak boleh beri jaminan. Walau bagaimana pun , saya kata kepadanya, sepanjang saya berikhtiar setakat ini berjaya. Bapa sepupu saya kata sekarang ini begitu banyak travel agensi kata boleh naik MAS dan ada banyak seat sewaktu cuti sekolah. Saya kata kepadanya , memang itu janji travel agensi tetapi bukan kuasa mereka nak beri seat . Travel kata begitu kerana takut pelanggan lari ke travel lain. Oleh kerana saya tak dapat meyakinkan mereka , bapa sepupu saya berurusan dengan sebuah travel ( tak perlu sebut nama disini ) yang dah berjanji dengannya dapat naik pesawat MAS.

Selepas itu saya tak bertemu lagi dengan bapa sepupu saya itu. Akhirnya apa jadi ?? Di Makkah saya bertemu dengannya dan saya tanya beritanya. Dia malu-malu menceritakan apa yang telah berlaku. Yang malangnya mereka dapat pergi setelah seminggu cuti sekolah berlalu dan keinginan mereka nak bertolak serentak dengan pesawat MAS tak berjaya, semuanya naik pesawat Qatar dan kumpulan mereka berpecah pula, tak dapat bertolak pada tarikh yang sama. pula. Dia kata , memang betul apa yang saya kata dahulu. Saya kata kepadanya : " Kalau nak naik pesawat Qatar insha` ALLAH rombongan ini tidaklah berpecah seperti sekarang ini kerana rasanya kawan saya dapat menolong untuk dapatkan seat pesawat Qatar ". Dia menyesal dan berjanji lain kali nak pergi dengan saya . Dia juga dapat merasakan bahawa harga pakej nya jauh lebih tinggi, lebih-lebih lagi penginapannya jauh dari Al Masjidil Haram.

Saat yang paling genting sekali bagi saya untuk mendapatkan seat pada waktu cuti sekolah ialah tahun 1994, iaitu kali pertama saya bawa jemaah seramai 15 orang . Ketika itu cuti sekolah bulan Desember. 2 minggu sebelum cuti sekolah, Dr Mahathir umumkan bahawa rakyat Malaysia dibenarkan melawat Baitul Maqdis dan mereka yang ingin mengunjungi Baitul Maqdis diminta datang ke immigresyen untuk dicopkan passport nya. Sejak pengumuman itu, ramai rakyat Malaysia berebut-rebut nak naik pesawat Royal Jordanian ( RJ ) kerana Amman, ibu negara Jordan adalah pintu masuk untuk ke Baitul Maqdis kerana urusan visa dibuat di Amman.

Ketika itu saya berada dalam saat yang sukar kerana semua jemaah nak naik pesawat RJ sedangkan nak masuk ke Baitul Maqdis belum tentu dapat lagi. Saya dapat tahu ini kerana saya tanya Manager RJ sendiri dan dia kata masih tak jelas lagi kerana kerajaan Jordan dan Israel baru nak berbaik-baik, belum ada hubungan diplomatic lagi, nak pergi ke Baitul Maqdis itu kalau boleh pun agak sukar urusannya. Saya beritahu ini kepada jemaah tetapi kata mereka , sampai di Jordan nanti kita berusaha lah, kalau tak dapat tak mengapa, mungkin tak ada rezki kita.

Oleh kerana terlalu ramai yang nak naik pesawat RJ, ticket RJ yang sebelum ini harganya paling murah ( lebih kurang harga ticket pesawat Bangladesh ) mula melambung tinggi harganya. Walau pun harganya tinggi , ini tidak mematahkan semangat orang ramai. Bayangkanlah bagaimana saya nak beli ticket . Saya buka directori talipon , cari no. talipon travel dan menalipon lebih dari 30 buah travel agensi. Akhirnya saya dapat tahu sebuah travel agensi ada buat block booking dengan RJ. Kemudian saya talipon manager RJ, orang cina beragama kristian, namanya Willson. Willson mengesahkan yang travel itu telah buat block booking dan meminta saya cepat-cepat hantarkan nama jemaah dan bayar penuh wang ticket kerana masa dah suntuk. Alhamdulillah , akhirnya saya dan rombongan dapat naik pesawat RJ. Namun begitu kami tak dapat melawat Baitul Maqdis kerana pihak kementerian Dalam Negeri Jordan tidak mengeluarkan pass untuk menyeberang sempadannya. Untuk pengetahuan anda sepanjang saya memimpin jemaah, saat inilah yang paling sukar sekali, tiap-tiap hari saya talipon travel.

Sejak tahun 1994 lagi saya berurusan dengan travel agensi kerana saya beli tiket dari mereka. Oleh kerana lama berurusan dengan travel agensi maka saya dah faham sangat dengan sikap dan attitude tuan-tuan punya agensi.

Oleh itu berhati-hatilah berurusan dengan travel agensi kerana kalau anda tanya mereka , mereka jawab boleh sahaja sedangkan mereka pun tak tahu samada boleh dapat seat atau tidak. Kalau mereka kata " nanti kita buat tempahan dan tak tahu lagi samada boleh dapat seat atau tidak ", mereka takut jemaah lari kepada travel yang lain. Sebab itulah mereka kata boleh pergi dalam cuti sekolah.

Sebagaimana yang telah saya jelaskan bahawa matlamat utama rakyat Malaysia memilih pesawat RJ ialah untuk melawat Baitul Maqdis. Oleh kerana keadaan di Baitul Maqdis sejak 6 tahun kebelakangan ini tidak menentu maka jumlah rakyat Malaysia yang berkunjung ke Baitul Maqdis amat berkurangan, oleh itu pesawat RJ tidak lagi mendarat di KL , lebih-lebih lagi sejak KLIA beroperasi, sudah banyak pesawat dari Negara `Arab tidak lagi mendarat disini. Sekarang kalau kita nak naik pesawat RJ , kita kena naik di Bangkok untuk ke Amman, Jordan dan dari situ ke Jedah.

Untuk pengetahuan anda, ada sesetengah travel egensi tidak mahu mengatakan kepada pelanggan perkara yang sebenarnya berlaku berkaitan dengan urusan penempahan tiket ( seat pesawat ).Ini adalah disebabkan sekiranya mereka katakan perkara yang sebenar , mereka takut pelanggan lari ke travel yang lain. Sebab itulah kalau kita tempah tiket pada tarikh yang ditetapkan seringkali kita dapat jawapan yang memuaskan dan meyakinkan, tetapi akhirnya mungkin tarikh itu ditunda. Mereka bukannya menipu wang jemaah, jarang sangat yang menipu jemaah. Cuma yang selalu berlaku ialah penangguhan penerbangan. Inilah antara sebab-sebab mengapa saya uruskan sendiri jemaah saya. Saya hanya beli tiket melalui travel egensi dan saya tak bayar wang deposit tiket sekiranya tiket tak dapat confirm lagi.

Bagaimanakah seat dapat di confirm kan ? Ini bergantung kepada musim, kalau peak season biasanya 2 minggu tapi ada juga seminggu dari tarikh berangkat barulah dapat di confirm kan. Kenapa saat akhir baru dapat cinfirm seat ? Sebab pihak airlines teragak-agak nak beri seat kepada travel agensi mana, maklumlah banyak permintaan. Selalu juga airlines ni jual mahal dan tak mahu layan permintaan travel agensi yang mungkin setiap hari merayu staff airlines.

Didalam urusan airlines ada satu istilah yang di panggil block seat . Sebagai contohnya travel agensi awal-awal lagi minta pihak airlines block seat , mungkin 3, 4, 5 atau 6 bulan sebelum tarikh keberangkatan tetapi mereka tak bayar wang deposit. Katakan mereka block 50 seats untuk penerbangan 10.5.2007. Apabila ada jemaah yang minta tarikh tersebut mereka kata : oh, memang tarikh itulah yang kita tetapkan. Jemaah pun senang hati. Akhirnya penerbangan mereka ditunda. Kenapa Ya ? Sebab travel agensi yang block seat untuk 50 penumpang menjangkakan seat itu dapat di confirmkan oleh airlines nanti tetapi hingga saat-saat akhir tak dapat di confirm dan pada akhirnya terpaksa ditunda pada tarikh yang lain. Inilah yang kerap berlaku setiap tahun, terutamanya waktu musim puncak.

Sekiranya mereka bayar wang untuk block seat besar kemungkinan seat mereka dapat confirm awal. Namun begitu ada juga yang tak dapat confirm. Ini berlaku kerana kemungkinan ada travel yang nak block seat bayar deposit lebih dari itu. Ada pun travel agensi yang buat block seat awal-awal lagi tetapi tidak bayar wang deposit ialah kerana mereka takut seat yang mereka block contohnya 50 seats, tidak dapat mencapai sasaran ( tidak dapat mencari pelanggan ) pada waktu airlines beri tempuh akhir untuk bayar deposit. Kalau mereka bayar deposit awal-awal lagi sebenarnya mereka tak rugi kerana mereka boleh jual seat itu kepada rakan mereka dari travel agensi yang lain.

Dalam pada itu ada travel yang block banyak seat dengan harapan dapat mencari pelanggan sebelum tarikh akhir pihak airlines tetapkan untuk bayaran penuh, Travel ini mungkin awal-awal lagi bayar deposit tetapi hingga saat-saat akhir dia tak dapat cari pelanggan untuk memenuhi semua seat yang di block. Oleh itu dia pun bertindak menjual seat yang di block itu kepada travel agensi yang lain dengan harga yang lebih tinggi dari yang dijual oleh airlines.Dalam hal ini selalunya akan berlaku tawar menawar diantara mereka. Oleh itu travel agensi yang beli tiket dari travel agensi yang buat block seat itu terpaksa membayar harga tiket yang tinggi. Sebab itulah harga tiket diantara satu agensi dengan yang kain tidak sama harganya. Ini selalu berlaku pada musim cuti sekolah.

Disamping itu ada travel ejen yang tak bayar makan kepada caterer di Makkah dan Madinah. Travel yang jujur hanya berhutang sahaja tetapi ada yang tidak jujur dan sengaja tak mahu bayar. Apabila caterer minta bayar macam-macam dalih mereka. Akhir sekali caterer ini tak mahu lagi berurusan dengan travel yang tak jujur ini. Travel yang tak jujur ini akan pergi kepada caterer lain pula dan dibuatnya macam itu juga.

Begitulah mereka lari dari satu caterer kepada yang lain. Travel yang tak jujur ini sudah tentu banyak wang kerana tak bayar wang makan kepada caterer sedangkan jemaah bayar harga pakej penuh kepada mereka. Syarikat travel yang jenis macam ni memang boleh tawarkan pakej yang lebih murah dari syarikat lain kerana syarikatnya hanya hantar jemaah kepada wakil ( caterer ) di Makkah dan Madinah tetapi tak bayar apa-apa. Kasihan jamaah yang tak tahu apa-apa, mereka hanya tahu pakej yang dibayar lebih murah dari yang ditawarkan syarikat yang lain.


Pada bulan Mei tahun ini saya sendiri tak pasti lagi samada nak pergi betul-betul cuti sekolah atau beberapa hari sebelum cuti sekolah. Cuma saya buat cadangan sahaja untuk mengelakkan kesukaran.

Sekian semoga kita semua di bimbing ALLAH. Aamin Yaa Rabbal `aalamin.

UMRAH MURAH-BERHATI-HATI JANGAN TERPEDAYA

Assalaamu`alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh

Berhati-hati Jangan Terpegaruh Dengan Iklan Umrah Murah

Banyak tedapat iklan umrah murah yang kita baca. Persoalannya adakah betul bagai dikata.

Kalau tuan/puan nak tahu apakah yang dikatakan Umrah Murah itu. Terdapat beberapa cara yang dilakukan oleh egensi atau penganjur umrah. Antaranya ialah:

(1) Mengambil pesawat murah yang menggunakan DC10 iaitu pesawat yang berumur lebih dari 20 tahun dan sering rosak, seperti Biman/Bangladesh Airline . Oleh kerana enjinnya selalu diperbaiki maka seringkali berlaku delay di KLIA, Jedah malah ada juga beberapa hari di Dhaka, Bangladesh sewaktu transit.

(2) Egensi atau penganjur memilih pesawat yang biasa seperti Qatar Airways, MAS dan lai-lain, namun begitu jemaah ditempatkan di Apartment yang agak jauh dari masjid dan mungkin satu bilik diasingkan lelaki dan perempuan supaya dapat dimuatkan ramai dalam sebuah bilik, jadi kosnya murah.

(3) Sebagai tambahan dari no (2) Mungkin bayaran sewaktu transit dan ziarah di tanah suci ditanggung sendiri oleh jemaah.

(4) Pesawat biasa dan hotel baik yang berdekatan dengan masjid, tetapi mengikut skim promosi dimana pelanggan awal menikmati ciri-ciri pakej di atas menggunakan wang pelanggan terkemudian. Kesudahannya, pelanggan terkemudian terkandas kerana wang tidak cukup untuk membayar kos tiket, hotel, bas dan makan minum di Tanah Suci lalu wang mereka tidak dikembalikan.

Oleh itu maka tidak hairanlah ramai jemaah mengeluh dan tidak berpuas hati dan merungut apabila tiba di tanah air. Malah ada juga kes ejen hilang disaat-saat akhir dan bermacam-macam lagi kes yang boleh dikatakan setiap tahun berlaku.

(5) Ini yang paling dahsyat. Kes ini melibatkan sesetengah syarikat travel ejensi dan penganjur umrah. Kes ini dahsyat kerana terdapat sesetengah ejensi dan penganjur umrah di black list oleh caterer di Makkah dan Madinah . Kebanyakan caterer di Makkah dan Madinah itu kawan2 saya.

Saya ada senarai egensi dan penganjur umrah yang di black list kan oleh caterer di Makkah dan Madinah .


Mengapa mereka ini di black list ? Sebab kerana tak bayar wang makan. 2 tahun lepas salah seorang kawan saya ( caterer ) dari Makkah pulang ke Malaysia untuk menjejaki beberapa syarikat travel ejensi yang tak bayar makan mencecah lebih kurang 100000 Saudi Rial.


Masalahnya jemaah membayar pakej penuh dan ini termasuk wang makan dan hotel tetapi ada sesetengah egensi yang tak membayarnya di Makkah dan Madinah.


Dalam erti kata lain anda bayar pakej penuh kepada ejensi untuk berumrah tetapi mereka inilah yang tak bayar kpd Caterer di Makkah dan Madinah. Ejensi dan penganjur umrah yang jujur hanya berhutang sahaja tetapi ada yang tidak jujur dan sengaja tak mahu bayar. Mungkin pada mulanya mereka hanya nak berhutang sahaja untuk nak pusing duit atau modal tetapi lama kelamaan hutang yang tertunggak itu menjadi banyak dan berat nak membayarnya. Apabila caterer minta bayar macam-macam dalih mereka. Akhir sekali caterer ini tak mahu lagi berurusan dengan mereka. Dengan itu mereka akan pergi kepada caterer lain pula dan dibuatnya macam itu juga. Begitulah mereka lari dari satu caterer kepada yang lain. Ejensi dan penganjur umrah penipu ini sudah tentu banyak wang kerana tak bayar wang makan kepada caterer sedangkan jemaah bayar harga pakej penuh kepada mereka. Caterer pula tak sampai hati tak beri makan kpd jemaah umrah kerana mereka dah bayar kpd ejensi .


Selain itu ada juga syarikat ejensi dan penganjur umrah yang di black list oleh tuanpunya2 hotel yang pernah mereka tempatkan jemaah mereka menginap kerana masih berhutang dengan hotel-hotel itu.


Namun begitu yang paling penting sekali ialah handaklah mencari orang yang pandai tentang haji dan umrah kerana banyak kes yang berlaku penganjur atau pembimbing yang kurang faham mengenai haji dan umrah mengeluarkan berbagai-bagai fatwa yang salah kepada jemaah mereka. Insha ALALH saya akan terangkan nanti.


Oleh itu nasihat saya berhati-hatilah supaya umrah kita benar-benar mabrurah.


Sekian wassalam.